Pendidikan amat penting bagi melahirkan individu yang berpendidikan, berilmu dan mahir dalam pelbagai bidang. Individu yang berilmu akan menghasilkan masyarakat yang tinggi dan mulia tamadunnya. Sudah tentu ini akan memacu pembangunan dan kemajuan sesebuah negara yang seimbang. Oleh itu aspek pntingnya pendidikan ini perlu diberikan penekanan serius oleh semua pihak Sehubungan dengan ini, peluang agar anak-anak muda dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat universiti atau menara gading amat mustahak. Namun masih ada yang menghadapi kesulitan kewangan terutamanya yang melibatkan mahasiswa/wi dari Keluarga Kurang Berkemampuan (B40).
Menyedari hakikat sedemikian maka YDSM telah mengambil insiatif untuk menyantuni kelompok mahasiswa/wi B40 yang menjadi ahli Sekretariat Rakan Siswa atau ringkasnya SERASI yang menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu. Mereka memasukki UniSZA melalui saluran khas dibawah YDSM. Inisiatif YDSM ini dilaksanakan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan rakan kongsi baru, Pertubuhan Kebajikan Insan (PEKERTI) dari Kuala Lumpur dan Selangor. Dengan sokongan mntap UniSZA, suatu majlis telah dianjurkan dimana telah disampaikan Sumbangan Kewangan kepada mahasiswa/wi yang menjadi ahli SERASI Majlis ini telah berlangsung pada 12 November, 2025 di Kompleks UniSISWA, UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus.
Inisiatif ini sesungguhnya menepati matlamat dan objektif YDSM dalam memperkasakan sosioekonomi rakyat Terengganu khususnya dalam bidang pendidikan dan ianya dapat meringankan beban keluarga para penerima. Seramai 100 orang mahasiswa dan mahasiswi yang bernaung dibawah SERASI masing-masing dalam pengajian peringkat Diploma (40 orang) dan Ijazah (60 orang) bagi kemasukkan sesi pengajian tahun pertama sesi 2025/2026 dari Kampus Gong Badak dan Kampus Besut telah dipilih bagi menerima sumbangan kewangan berjumlah RM200 seorang.
Turut hadir menyampaikan sumbangan adalah YBhg.Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM. Dalam ucapan di majlis tersebut, Dato’ Haji Mohd Fadzli menasihati para penerima bantuan supaya mengutamakan pengajian mereka dan meletakkan sasaran pencapain akadem masing-masing pada tahap yang tertinggi dan terbaik. “Jangan sia-sia peluang yang ada dengan membuang masa kepada aktiviti yang tiada kaitan dengan pengajian” nasihat Dato’ Haji Mohd Fadzli. Hadir sama adalah Yang Berbahagia Prof.Madya Dato’ TS Dr. Mohd Hafiz bin Yusof, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA, Yang Berusaha Encik Mohd Yuzakri bin Yazid, Pengarah BSN Negeri Terengganu serta Yang Berusaha Dr. Nasuha bin Jakfar, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan (PEKERTI). Juga bersama dalam majlis berkenaan adalah Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Pengurusan Tertinggi UniSZA, Pegawai-Pegawai dari YDSM dan BSN Negeri.
Menjadi harapan YDSM untuk melihat Mahasiswa dan Mahasiswi ini berjaya dalam bidang pengajian masing-masing dan seterusnya membantu melonjakkan Ekosistem Pendidikan dan Ekonomi Terengganu. YDSM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini khususnya UniSZA dan BSN Negeri Terengganu serta PEKERTI Kuala Lumpur dan Selangor.












