3 OKTOBER 2026 | SABTU
Kenyir Elephant Cultural Village (KECV), Hulu Terengganu
YDSM bersama rakan strategiknya, YAPEIM menganjurkan Program Semarak Usahawan Peringkat Negeri Terengganu bersempena Bulan Infaq YAPEIM.
Peluncuran Bulan Infaq YAPEIM ini bertujuan memperkukuh budaya infak dalam kalangan masyarakat, memperluas penyertaan penyumbang serta meningkatkan penyaluran manfaat kepada golongan sasaran menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, kemasyarakatan dan pembangunan ekonomi. Sumbangan infaq juga mencecah RM212,800.00.
Majlis Peluncuran disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, YBrs. Tuan Haji Abdul Khudus bin Mohd Naaim. Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YDSM, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof bersama-sama ALPA YDSM yang lain, barisan pengurusan YDSM dan YAPEIM serta kenamaan lain. YDSM turut menyumbang dana korporat berjumlah RM170,000 kepada YAPEIM.
Turut berlangsung adalah aktiviti Infaq Elephant Walk 2026 dan Projek Tanaman Rumput Napier sebagai sebahagian daripada usaha memperluas inisiatif pembangunan komuniti serta menjana manfaat ekonomi setempat.
Pelbagai penyerahan sumbangan dan bantuan turut disempurnakan, antaranya Modul Kecemerlangan SPM 2026 YAPEIM kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, bantuan kewangan persekolahan kepada 10 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan serta bantuan bakul makanan kepada 20 keluarga B40.
Dalam usaha menyokong pembangunan usahawan tempatan, Program Semarak Usahawan yang dilangsungkan merangkumi aktiviti pameran, promosi dan jualan dari pelbagai agensi dan usahawan serta pembangunan perniagaan. Turut diadakan adalah lawatan ke empat (4) projek bantuan usahawan tempatan di Hulu Terengganu bagi melihat perkembangan perniagaan yang menerima sokongan YDSM dan YAPEIM.
Peluncuran Bulan Infaq dan Program Semarak Usahawan ini menjadi satu momentum strategik dalam menyemarakkan budaya infaq dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat, disamping memperkukuh kerjasama bersama rakan-rakan strategik dan penyumbang bagi memastikan manfaat infaq dapat disalurkan secara lebih menyeluruh dan berkesan kepada golongan yang memerlukan.
YDSM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Program ini.

































