Pembangunan dan pemerkasaan sosioekonomi rakyat merupakan satu usaha yang wajar dilaksanakan secara sistematik dan konsisten. Selain itu, tindakan pemantauan yang tersususun serta berterusan juga perlu untuk memastikan golongan sasaran atau penerima manfaat dapat menikmati hasilnya. Justeru, dalam menentukan agenda ini dapat dilaksanakan dengan impak yang berkesan, YDSM dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah berganding bahu menganjurkan “Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM” atau ringkasnya PPKY bagi masyarakat dan kominiti Daerah Hulu Terengganu.
Pelaksanaan projek ini pada dasarnya menepati matlamat penubuhan kedua-dua YDSM dan YaPEIM untuk membantu dan mempertingkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat melalui pelbagai program dan aktiviti amalnya. YaPEIM adalah sebuah agensi di peringkat nasional yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Majlis pelancaran PPKY ini telah diadakan pada 4 Oktober 2025, bertempat di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Hulu Terengganu. Sambutan masyarakat Hulu Terengganu khususnya PPKY amat memberangsangkandengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung yang mengambil peluang dan memanfaatkan aktiviti yang ditawarkan pada hari tersebut.
Beberapa sumbangan/bantuan disalurkan kepada pelbagai pihak melalui beberapa Projek dibawah PPKY semasa upacara pelancaran rasmi PPKY tersebut. Antaranya, Projek Sinar Lestari YaPEIM yang menyediakan bantuan bagi bina baharu rumah, Projek Pembangunan Usahawan, Projek Pembangunan Kemasyarakatan dan Pembangunan Pendidikan dalam usaha memperkasakan sosioekonomi warga/penduduk di Hulu Terengganu khususnya melalui sumbangan/penyaluran dana khas oleh YaPEIM yang berjumlah RM450,000.
Turut diadakan pada hari PPKY tersebut adalah aktiviti jualan RAHMAH yang mendapat sambutan hangat dengan segala produk jualan RAHMAH habis dilanggani pengunjung dalam masa beberapa jam sahaja. Disaming itu, jualan dan pameran hasil dan produk pelbagai entiti dan institusi turut disediakan. Antara aktiviti yang menjadi tarikan pengunjung adalah pertandingan memasak terutamanya kueh mueh tradisional Terengganu. Untuk kanak-kanak dan murid serta pelajar sekolah pertandingan mewarna dianjurkan, ceramah motivasi untuk pelajar dan sesi YaPEIM bersama komuniti, jualan oleh usahawan FAMA, pemeriksaan asas kesihatan dan gigi serta perkhidmatan Ar-Rahnu YaPEIM.
Sementara itu, sebagai tanda jalinan kerjasama YDSM-YaPEIM suatu majlis menandatangani MoU telah berlangsung pada 28 Oktober 2025 yang disaksikan sendiri oleh KDYMM Sultan Terengganu selaku Pengerusi YDSM. Sesungguhnya ini memperlihat akan rasa keperhatinan Tuanku terhadap kehidupan rakyat Terengganu khasnya.


















