Skip to main content

Pada 18 September 2025, suatu acara Penanaman Terbesar Pokok Gelam dengan nama saintifiknya Melaleuca Cajuputi berjaya dilaksanakan yang diiktiraf secara rasminya oleh The Malaysia Book of Records. Inisiatif yang bertujuan menjaga, memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dipelopori oleh Benua Hijau Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan beberapa institusi pengajian tinggi di Terengganu, Majlis Pengurusan Taman Negeri selaku agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan dan penjagaan taman-taman negeri di Terengganu serta beberapa agensi lain.

Majlis bersejarah ini diserikan dengan kehadiran YAM Tengku Seri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi, Straits Energy Resources Berhad, syarikat induk Benua Hijau, diiringi oleh Dato’ Sri Ron Ho Kam Choy, Pengarah Urusan, Straits Energy Resources Berhad bersama barisan ahli Lembaga Pengarah yang lain. Turut hadir memberikan sokongan ialah wakil Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan , YBhg. Dato’ Dr. Che Ab Rahim bin Nik dan YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Mustaffa serta kehadiran YM Dato’ Tengku Mohd Arifin bin Tengku A. Rahman selaku Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri.

Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar yang hadir bersama pensyarah dan pegawai dari pelbagai institusi hasil daripada penglibatan YDSM secara langsung dalam pelaksanaan program ini. YDSM telah membantu pihak Benua Hijau Sdn Bhd untuk mendapatkan sokongan dan penglibatan peserta daripada institusi-institusi pendidikan tinggi di Terengganu. Antara institusi yang terlibat adalah Universiti College Bestari (UCB), Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Besut( UniSZA ), Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), University College TATI (TATI), Universiti Teknologi MARA – Media Rasmi Kampus Dungun (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan TESDEC. Tidak dilupakan juga sokongan dari wakil rakan NGO WWF-Malaysia dan Forest Research Institute Malaysia (FRIM). Sokongan dan penglibatan warga universiti amatlah dihargai. Para pelajar seramai 400 orang menjadi tenaga sukarela yang menjalankan penanaman anak-anak pokok gelam di mukim Tasik Berombak, Setiu Wetlands. Kesungguhan mereka jelas terpancar melalui komitmen dalam menyiapkan plot penanaman yang telah diagihkan, meskipun berhadapan dengan cabaran cuaca panas terik pada hari tersebut.

Hasil usaha gigih dan kerjasama padu semua pihak, sasaran awal sebanyak 10,000 anak pokok gelam akan ditanam bukan sahaja tercapai, malah berjaya dilangkaui dengan sejumlah keseluruhan 12,275 anak pokok gelam ditanam. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan impak keberhasilan kerjasama strategik antara pelbagai pihak, malah menjadi simbol tekad bersama dalam usaha melestarikan alam sekitar. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang telah menjayakan program ini.

Semoga inisiatif murni ini terus menyemarakkan usaha pemuliharaan alam semula jadi khususnya di Setiu Wetlands Terengganu, serta menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif hijau pada masa hadapan. Ini adalah suatu amanah besar untuk kita pastikan generasi akan datang selesa menikmati alam sekitar yang nyaman, bersih dan penuh dengan kelestarian.

Leave a Reply

Close Menu

About YDSM

Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Perkarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud 20400, Kuala Terengganu, Terengganu, MALAYSIA

Tel : 09-625 1131, 626 1131
Faks : 09-623 1131

Emel :
yayasandirajasultanmizan@gmail.com
media.ydsm@gmail.com