Majlis Santapan Malam Sambutan Dua Dekad Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu telah diadakan pada 26 Mei 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Majlis ini telah memaparkan pelbagai Program/Projek yang telah dilaksanakan sejak awal penubuhan YDSM pada tahun 2005 hingga kini yang telah mencapai usia dua dekad. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu telah berkenan untuk memotong kek pulut kuning sebagai simbolik Dua Dekad YDSM.
Tiga orang peserta terbaik keseluruhan bagi setiap program iaitu Program Usahaniaga, Program Usahatani dan Program Seni Kraf Warisan YDSM telah menerima anugerah khas dalam majlis ini termasuk satu anugerah khas Penyumbang terbanyak.
Selain itu, tiga buah buku baru YDSM; ‘Terengganu – Wajah-wajah Kehidupan’, ‘HRH Sultan Ismail Nasiruddin Shah – Life As A Pioneer Photographer King’ serta ‘Terengganu Islands and State Park’ telah dilancarkan dalam majlis ini. Selain itu, turut dilancarkan ‘Gold Bar’ Edisi Khas Dua Dekad YDSM.
Majlis berjalan lancar dengan dihadiri hampir 500 orang tetamu jemputan.



















