Skip to main content

Majlis Mesra Hari Raya Aidilfitri Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) 1446 Hijrah telah berlangsung pada 21 April 2025 bersamaan 22 Syawal 1446 Hijrah bertempat di Pejabat Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Pekarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri YDSM kali ini peserta dan pelatih pelbagai program kemasyarakatan YDSM dijemput untuk turut serta dengan mengambil bahagian dalam mempamer, menghiasi serta menghidangkan hasil keluaran masing-masing berasaskan program dan projek yang mereka sertai. Para peserta dan pelatih YDSM terbabit terdiri daripada peserta Program Usahaniaga Zakat YDSM, pengusaha produk pastri, pengusaha program Usahatani Cendawan, dan yang terbaru adalah peserta Rumah Madu Terengganu (RAHMAT) YDSM. Dukacitanya bagi sambutan kali ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, selaku Pengerusi YDSM tidak dapat berangkat.

Para tetamu yang hadir adalah daripada pelbagai pertubuhan dan agensi Kerajaan dari Terengganu dan juga luar, serta masyarakat umum bergembira menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang disediakan oleh peserta YDSM dalam aneka ragam bidang tersebut. Sepanjang majlis berlangsung, yang bermula pada jam 11.00 pagi sehingga jam 2.00 petang, para tetamu dihiburkan dengan alunan lagu-lagu raya yang dipasang oleh pihak Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.

Pada kali ini, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM berpeluang melawat tujuh (7) buah gerai yang disediakan sempena Majlis tersebut, terdiri daripada peserta Program Usahaniaga Zakat YDSM, Pengusaha produk Pastri, Pengusaha Program Usahatani Cendawan dan yang terbaru peserta Rumah Madu Terengganu (RAHMAT) YDSM yang membawa produk masing-masing dan juga bersalaman dengan mereka sambil beramah mesra.  Antara beberapa produk yang dipamer ialah, produk kuih-muih seperti jala mas, mas jemput, taitik, akok dan kuih bakar. Selain itu, produk pastri pula dengan kepelbagaian kek dan donut berperisa, makanan berasaskan cendawan, mee dan bihun goreng, murtabak dan produk madu. Selain beraneka juadah oleh peserta berkenaan, YDSM juga menyajikan menu tambahan seperti nasi minyak, nasi dagang, kambing golek, sate, laksa, laksam, ais cendol, ketupat, lemang, dan aiskrim.

Sebelum bersurai acara penyampaian duit raya kepada anak-anak tetamu yang hadir diadakan. Majlis Mesra Hari Raya Yayasan DiRaja Sultan Mizan pada tahun ini sangat meriah dengan kehadiran para jemputan dan juga orang ramai yang melebihi seribu pengunjung.

Leave a Reply

Close Menu

About YDSM

Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Perkarangan Istana Badariah, Jalan Sultan Mahmud 20400, Kuala Terengganu, Terengganu, MALAYSIA

Tel : 09-625 1131, 626 1131
Faks : 09-623 1131

Emel :
yayasandirajasultanmizan@gmail.com
media.ydsm@gmail.com