KDYMM Sultan Terengganu dan KDYMM Sultanah Terengganu Berkenan Kurnia Bantuan kepada Pelajar dan Fakir Miskin.
KUALA TERENGGANU, 26 Mac 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kepada pelajar sekolah dan fakir miskin di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini, hari ini.
Baginda turut berkenan menyampaikan penghargaan kepada mahasiswa dan mahasiswi terbaik bagi Program Pengambilan Pelajar dari Keluarga Berpendapatan Rendah kemasukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan mengurniakan sijil serta cenderahati kepada penyumbang program Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM).
Keberangkatan baginda diiringi KDYMM Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu bersama Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath DiRaja.
Menyambut ketibaan baginda, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, YBM Tengku Seri Bijaya Raja dan Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).
Pada tahun ini, seramai 200 orang fakir miskin masing-masing 100 lelaki dan 100 wanita dari semua daerah Terengganu telah dipilih untuk menerima kurniaan dengan penyelarasan dibuat bersama pihak JKM Negeri. Selain itu, buat julung kalinya seramai 30 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 15 orang Penggiat Seni/Sasterawan dan 15 orang Pesara dari Institusi Agama Islam mempunyai kelayakan/tauliah untuk mengajar di masjid dan surau di Terengganu turut dipilih untuk menerima kurniaan yang sama.
Selain itu, sejumlah 240 kanak-kanak daripada keluarga miskin telah dipilih bagi menerima kurniaan berkenaan disamping kurniaan juga diberikan kepada tiga (3) buah madrasah/pusat pengajian Islam.
Turut menerima kurniaan adalah 500 penenun songket traditional dari Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ). Mereka terdiri daripada penduduk kampung yang dipilih dari seluruh Terengganu.